Monday 3 March 2014

My Breastfeeding Journey...

Assalamualaikum wrt dan salam ceria...

Serius lamanya tinggalkan blog ni kan... Ntah apa yang disibukkan pun saya sendiri pun kurang pasti. hehehe...

Ok, entri kali ini saya tergerak hati mau share pengalaman menyusukan anak-anak dari anak sulung (yang kini berumur 10 tahun) sehingga anak keempat yang berusia 2 tahun. Idea atau azam menyusukan anak sendiri ini datangnya dari pembacaan majalah Pa&Ma, yang saya mula baca setelah disahkan hamil. Saya sangat teruja dengan kisah penyusuan Wardina Safiyyah, dan rasanya tidak keterlaluan sebab itu juga saya mula menanam semangat untuk menyusukan anak sepenuhnya.

Ketika itu ilmu penyusuan sangat kurang, sumber yang saya ada hanyalah dari majalah Pa&Ma. Support group pun tiada. Broadband masa itu belum diperkenalkan jadi memang kurang pendedahan dengan internet ni. Rakan sekerja pun tiada yang fully breastfeed baby mereka. Hanya saya seorang sahaja dan situasi itu seolah dipandang ermm... pelik la mungkin bagi rakan sekerja sebab pada pandangan mereka agak menyusahkan diri. Bila jumpa saudara mara, bila tahu saya fully breastfeed semua jadi hairan dan cakap... cukupkah kalau tidak top up dengan formula milk. huhuhu.... sedihkan? Oh ya... Masa tu saya beli breastpump manual jenama Medela, Little Heart. Syukur suami sangat memahami dan menyokong hasrat saya. Namun kerana ceteknya ilmu penyusuan, menjelang umur anak 5 bulan lebih, saya mula perkenalkan FM dengannya sebab air susu sangat berkurangan. Sedih betul masa tu, tapi FM tu hanya diminum di nurseri sahaja sebab di rumah saya masih direct feed (DF) anak.

Saya mengandung anak kedua semasa anak sulung berumur setahun setengah. Masa tu masih juga meneruskan DF jika di rumah. Namun sekali lagi ceteknya ilmu saya, sekitar 7 bulan mengandung saya berhenti menyusukan anak. Sedihnya bila ingat balik sebab nurse di klinik kesihatan yang berulang kali meminta saya memberhentikan penyusuan anak. Kata mereka, kesian dengan baby dalam perut nanti kurang zat. Bukan tidak pernah membaca artikel berkaitan pasal BF semasa mengandung, tapi sebab yang cakap tu nurse, jadi ikut ja la. Tapi bagi saya, bukan salah nurse tu. Salah saya sebab itu pilihan saya.... T_T. Anak kedua pula saya menyusukan secara eksklusif sehingga berusia 6 bulan.

Anak ketiga saya lahir semasa anak kedua saya berumur setahun 7 bulan. Kali ni anak kedua masih menyusu sehingga saya masuk ke Dewan Bersalin. Masih segar dalam ingatan, kontraksi telah bermula sejak maghrib sehari sebelum EDD. Anak  kedua masih menyusu dan setiap kali menyusu, kontraksi tu makin sakit. Alhamdulillah, sejurus selepas bersalin, saya terus boleh menyusukan anak sehingga 3 kali penyusuan dan baby siap buang air besar semasa dalam dewan bersalin. Oh ya... Anak ketiga saya terjerut tali pusat semasa dilahirkan, jadi sebab tu saya agak lama di dewan bersalin. Tunggu pemeriksaan fizikal baby settle.

Semasa anak ketiga, pengetahuan saya tentang penyusuan makin bertambah seiring dengan perkembangan internet. Banyak info yang boleh di 'google' dan kali ini, di tempat kerja yang baru ini saya ada geng ibu BF. Kami sentiasa memberi semangat antara satu sama lain, berkongsi dan bertukar-tukar maklumat. Antara kejayaan kecil kami ialah dapat menggalakkan lebih ramai rakan-rakan yang menjadi ibu agar menyusukan anak secara eksklusif setidak-tidaknya untuk tempoh 6 bulan. Oh ya... Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan, tempat saya follow up check up semasa mengandung hingga suntikan anak, adalah klinik mesra BF.

Penyusuan anak keempat saya kira saya lebih bersedia. Cheewaaah... hihihi... Dengan support group online, support group rakan sekerja, pembacaan yang lebih variasi dan kemudahan internet sangat membantu. Penyusuan berlangsung dengan baik, namun tanpa diduga secara tiba-tiba penghasilan EBM saya tiba-tiba merosot semasa baby berusia 5 bulan. Bayangkan kebiasaan sekali pam boleh mendapat paling tidak 13 auns tiba-tiba hasil perahan tidak sampai 1 auns??? Sedih, stress tapi saya cuba bertenang. Rakan support BF saya memberikan beberapa biji supplimen penggalak susu dan saya menambah sukatan air kosong yang perlu diminum. Susu perahan sedikit bertambah tetapi masih tidak menyamai perahan sebelumnya. Dipendekkan cerita, akhirnya saya mengetahui sebenarnya saya mengalami kehamilan ektopik (dan syukurnya failure pregnancy). Semasa ditahan di wad, penghasilan EBM sangat merosot sehingga saya meminta izin suami untuk memberikan FM kepada baby. Suami hanya diam pada awalnya, dan selepas itu datang membawa pam dan peralatan penyusuan lain. Katanya yang menyentuh hati, usahakanlah pam juga setakat yang mampu. Dia akan bawa baby ulang alik ke wad dan simpan EBM. Jadi sepanjang di wad, suami akan datang awal pagi membawa baby untuk disusukan selepas menghantar anak-anak yang lain ke sekolah. Selepas kenyang barulah baby dihantar ke nurseri. Sepanjang hari berada di wad saya akan mengepam setiap 2 jam, termasuk waktu malam. Walaupun hasil perahan tidak banyak tetapi alhamdulillah mencukupi. Oh ya, masa tu bulan puasa jadi setiap hari suami dan anak-anak akan datang berbuka puasa di wad. Sekitar jam 11 malam suami akan datang lagi membawa baby untuk disusukan sehingga tertidur dan barulah dibawa balik. Syukur pejabat suami berdekatan dengan hospital, dan ramai rakan yang membantu menjaga anak-anak semasa suami membawa baby berjumpa saya.

Selepas pembedahan, seorang rakan fb dalam support group penyusuan susu ibu menghadiahkan saya alfalfa dan lecithin shaklee. Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya berjaya menyusukan anak keempat saya eksklusif susu ibu sehingga dia berumur setahun 3 bulan. Selepas itu saya perkenalkan dia dengan fresh milk dan susu formula tetapi masih juga meneruskan penyusuan sehingga kini.

Pengalaman penyusuan susu ibu secara eksklusif sangat berharga bagi saya. Bermula dengan tiada apa-apa ilmu, saya bersyukur kerana akhirnya ada rakan-rakan yang terdorong untuk menyusukan anak secara eksklusif dengan susu ibu setelah mendengar 'ceramah' saya. Walaupun ramai orang di sekeliling saya menjadi cabaran terbesar untuk meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif, sokongan dan dorongan dari suami yang tidak berbelah bagi antara punca kekuatan saya dengan izinNya. Susu ibu hak anak. Tunaikan hak anak, insyaAllah akan mendapat ganjaran di sisiNya.

Next entri saya akan share tips-tips penyusuan berjaya, teknik mengepam, teknik memperbanyakkan susu ibu dan pantang-larang semasa BF anak. InsyaAllah ^_^